Selalu kita dengar pengantin gemuruh untuk melalui upacara akad nikah, sebab apa, sebab lafaz akad itu yang agak susah, jika silap sikit kena buat lagi sekali. Lain negeri lain pula cara lafaznya. Berikut pendapat Dr. Asri mengenai cara lafaz ini.
"Saya juga amat tidak selesa melihat tok kadi yang selalu mendera
pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah
kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga
seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz
akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk
menghafalnya. Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan
kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz
yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal
isteri menyebut ‘saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu
bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin
ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya”
seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i,
maka sahlah ijab dan qabul tersebut.
Tidak disyaratkan mesti
satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam
bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.
Sehinggakan sarjana fekah semasa Dr ABD AL-KARIM ZAIDAN dalam karya
al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut: “Jika
seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan
anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”.
Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak
perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh
di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih
al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang arab badawi telah
meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin
berkahwin dengan Nabi s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia
denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan
al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah
al-Risalah).
Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam
al-Bukhari letakkan ia berbunyi: Bab Iza Qala al-Khatib li al-Wali
Zawwijni Fulanah, faqala qad Zauwajtuka bi Kaza wa Kaza, Jaza al-Nikah
Wa In Lam Yaqul li al-Zauj Aradita au Qabilta, maksudnya: Bab Apabila
Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku
dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau
dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun
tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”. Inilah
kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis
dalam bab nikah yang diteliti olehnya.
Apa yang penting proses
ijab dan qabul amatlah mudah. Ia adalah lafaz yang difahami oleh kedua
belah pihak serta dua saksi yang menjelaskan kehendak dan persetujuan
untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu
berlaku maka ia sah. Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah
satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh
sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh
ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau
dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah".