Mohon maaf secara terbuka atau jumpa di mahkamah. Itu kata putus yang diberikan oleh aktor popular, Fahrin Ahmad yang sudah tidak mampu lagi membendung kemarahannya terhadap penyampai radio popular, Linda Onn.
Kemuncak kemarahan terhadap bekas kekasihnya itu dizahirkan oleh Fahrin yang turut menitiskan air mata pada sidang akhbar hari ini bagi meminta Linda memohon maaf secara terbuka dan menarik balik pernyataan fitnah yang dibuatnya.
Fahrin, 31, menerusi peguamnya Tengku Naufal Tengku Mansor daripada firma guaman Tetuan Naufal & Co. juga memberi tempoh selama seminggu kepada Linda, 33, untuk berbuat demikian.
Notis tuntutan tersebut telah dikeluarkan oleh Fahrin melalui peguamnya pada 22 Januari lalu.
Menurut Tengku Naufal, selain dua tuntutan berkenaan yang perlu disiarkan di akhbar, Linda turut diminta mengeluarkan surat akujanji secara bertulis untuk tidak lagi mengulangi perbuatannya yang memburukkan imej Fahrin.
Tuntutan itu juga menyebut Fahrin menuntut ganti rugi dan kos atas kenyataan berbau fitnah oleh Linda yang disiarkan dua buah akhbar, masing-masing akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris bertarikh 19 serta 20 Januari lalu.
Linda yang kini bertugas sebagai penyampai radio Suria FM didakwa mengeluarkan kenyataan dalam dua akhbar berkenaan bahawa bekas kekasihnya seorang yang panas baran serta ‘cepat naik tangan’ selain pernah mengasarinya sewaktu mereka bercinta.
Sementara itu, Linda ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, dia menyerahkan kepada peguamnya untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Selebihnya tiada apa yang mahu saya ulas mengenai tindakan Fahrin terhadap saya,” katanya.
Menurut Linda, dia bersyukur kerana segala tuntutan Fahrin terhadapnya tidak memberi sebarang tekanan kepadanya.
Berita Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment