Mencari Berkat Kenduri Kahwin

RAMAI di kalangan kita menerima kad jemputan ke majlis kenduri kahwin sempena cuti persekolahan ini. Kenduri kahwin ini diadakan bagi melahirkan kesyukuran atas bercantumnya dua hati insan dalam satu ikatan pernikahan.


Kemeriahannya akan lebih terasa kerana sesuai dengan pengertian walimah itu yang bermaksud mengadakan suatu majlis makan yang turut mengundang sanak saudara dan sahabat handai jauh dan dekat untuk turut sama menyerikan lagi majlis yang diadakan.

Anas bin Malik dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah (saw) melaksanakan majlis kenduri kahwin dengan seekor kambing untuk isteri-isterinya dan untuk Zainab.

Jelas daripada mafhum hadis itu bahawa hukum mengadakan walimah atau kenduri perkahwinan adalah diharuskan agama sebagai mengumumkan suatu ikatan pernikahan, tetapi hendaklah mengikut batas yang ditetapkan syariat Islam.

Menurut pandangan Syed Sabaq dalam sebuah kitabnya, beliau menerangkan bahawa walimah atau kenduri kahwin dapat dilaksanakan ketika berlangsungnya akad nikah atau sesudahnya. Ia juga boleh dilangsungkan pada hari perkahwinan (mencampuri isterinya) atau sesudahnya.

Sebuah lagi hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari menyatakan Rasulullah mengundang sahabat baginda untuk menghadiri majlis walimah baginda sesudah baginda mencampuri isteri baginda iaitu Zainab.

Pada kisah Abi Usaid juga didapati bahawa walimah yang dilakukan beliau yang dihadiri Rasulullah, Abu Usaid menghidangkan kurma yang disimpan pada malam harinya.

Kurma itulah yang dihidangkan kepada tetamu. Ini bermakna, jenis makanan yang ingin dihidangkan pihak keluarga yang mengadakan walimah itu bergantung kepada kemampuan.

Pun begitu, dalam mengadakan majlis kenduri kahwin, janganlah pula ada di kalangan keluarga Islam yang mengadakannya secara melampau batas syariat.

Antaranya menyerlahkan sikap ingin menunjuk-nunjuk dengan mengadakan kenduri besar-besaran, boros berbelanja hingga memberi kesan kepada kewangan apabila melakukan pembaziran wang ringgit dan harta benda, membuat pinjaman bank dan berhutang.

Firman Allah dalam surah al-Isra bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang boros itulah saudara syaitan. Dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.

Sudah menjadi budaya masyarakat, apabila orang daripada golongan mewah dan kaya mengadakan kenduri kahwin, jarang sekali mendahulukan orang miskin dan kurang berada sebagai tetamu untuk meraikan majlis itu.

Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari bermaksud: Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak diundang untuk makan bersama.

Dari aspek memenuhi tuntutan sebagai orang dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin pula, Rasulullah menyatakan dalam hadis baginda yang diriwayatkan Bukhari bermaksud: Jika salah seorang di antara kamu dijemput ke majlis perkahwinan, maka hendaklah ia mendatangi majlis itu.

Walau apapun, jika diteliti hadis di atas, menghadiri jemputan majlis kenduri kahwin adalah dituntut agama sebagai sunat muakad. Dalam sebuah kitab yang ditulis Syed al-Bari ada menyatakan syarat undangan yang wajib dipenuhi antara lain hendaklah meliputi perkara berikut:

i. Orang yang mengundang adalah mukallaf, merdeka serta sihat pemikirannya.
ii. Tidak dikhususkan kepada orang-orang kaya sahaja.
iii. Orang yang mengundang beragama Islam.
iv. Tidak ada kemungkaran di majlis itu.
v. Orang yang diundang tidak mengalami keuzuran syarie.

Usahlah dicemari dengan perkara yang bercanggah dengan syariat Islam. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pertuturan keji dan lucah, nyanyian dan tarian yang melalaikan, senda gurau yang melampau adalah contoh beberapa situasi yang sering berlaku dalam majlis kenduri kahwin.

At-Tirmizi meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: Perbezaan antara majlis perkahwinan yang halal dan haram ialah adanya nyanyian dan pukul rebana.

Daripada mafhum hadis itu, sama-samalah kita menepati kehendak sebenar syariat apabila ingin memeriahkan majlis walimah atau kenduri kahwin dengan persembahan hiburan agar ia tidak tercemar dengan unsur yang ditegah agama dan melanggar ketertiban budaya Melayu.

Abu Hurairah meriwayatakan sebuah hadis Rasulullah menyatakan tempoh mengadakan kenduri kahwin yang bermaksud: Walimah pada hari pertama adalah suatu hal yang benar. Pada hari kedua adalah suatu perkenalan, sedangkan pada hari ketiga adalah mempamer dan mencari kemasyhuran.

Dalam hadis di atas Rasulullah menyatakan keharusan mengadakan kenduri kahwin dalam tempoh masa tertentu sebagaimana dinyatakan. Sesuatu yang tersirat yang ingin disampaikan baginda dalam hadis di atas ialah sikap berpada-pada apabila mengadakan majlis kenduri kahwin agar tidak dipandang serong orang lain.

www.flickr.com
More photos or video tagged with kahwin on Flickr