Tujuan Perkahwinan Menurut Pandangan Imam Al-Ghazali

Telah banyak artikel yg bincang mengenai perkahwinan, hantaran, kenduri, akad nikah, mas kahwin. Kini jom kita renung semula kebelakang seketika, apakah sebenarnya tujuan perkahwinan itu. Jangan kita sibuk membuat persiapan perkahwinan tetapi tidak tahu apa sebenarnya tujuan perkahwinan itu sendiri.

Imam al-Ghazali ada menyebutkan di dalam kitabnya al-Ihya’ Ulumuddin, terdapat 5 tujuan iaitu :

1) Dapat menghasilkan keturunan supaya dunia ini tidak kepupusan makhluk dari bangsa manusia. Dan seterusnya anak tersebut dapat berdoa untuk kedua ibubapanya setelah kematian mereka.

2) Menghilangkan tekanan syahwat seks terhadap wanita yang sentiasa datang mengganggu di dalam ibadatnya. Tekanan ini juga akan membawa kepada zina mata atau zina faraj. Dengan perkahwinan seseorang itu dapat memelihara diri dari syaitan yang akan membawa ke arah perkara-perkara yang haram.

3) Membereskan gangguan hati dalam masalah urusan rumahtangga seperti memasak, mengemas, membasuh dan lain-lain. Dengan ini, masanya tidak banyak terbuang hanya untuk urusan tersebut sahaja.

4) Dengan pergaulan dan percampuran suami isteri dapat menggembirakan serta menjinakkan hati dan perasaan. Di mana perkara ini akan mendorong dan menguatkan hatinya untuk rajin melakukan ibadat.

5) Dapat bermujahadah melawan hawa nafsu di dalam kehidupan berumahtangga, antaranya ialah:

i. Dengan menunaikan hak-hak yang diwajibkan terhadap isteri.
ii. Bersabar terhadap tingkah laku isteri yang tidak secocok dengannya.
iii. Berusaha untuk memperelok akhlak anak dan isterinya serta memberi tunjuk ajar kepada mereka ke jalan agama.
iv. Berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan rezeki yang halal untuk menyara anak dan isteri.
v. Mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang berguna.


Moga kita semua jelas tujuan sebenar perkahwinan. Bagi yang nak kahwin tak lama lagi, jom sambung semula persiapan perkahwinan anda.

Terima kasih

0 comments:

Post a Comment

www.flickr.com
More photos or video tagged with kahwin on Flickr