Maya - Steven dan Mahkamah!

Tidak sampai sejam pernikahan mereka disahkan, pelakon dan model, Maya Karin dan suaminya, Steven David Shorthose ‘dihujani’ dengan persoalan berhubung perceraian.

Bagaimanapun reaksi yang diterima daripada kedua-dua mereka amat berbeza. Terdahulu, kira-kira pukul 3.36 petang, Steven, 41, atau nama Islamnya, Mohamed Ali Abdullah tiba di Mahkamah Rendah Syariah di sini dengan ditemani oleh seorang rakan perempuan dipercayai peguam syarie yang bertindak sebagai penasihatnya.


Maya atau nama penuhnya, Maya Karin Roelcke, 31, pula tiba kira-kira 20 minit kemudian dengan ditemani dua orang saudaranya.

Pelakon utama filem Pontianak Harum Sundal Malam itu sempat menegur dan bersalaman dengan petugas media yang menunggunya sejak pukul 3 petang. Steven yang tidak diwakili peguam syarie, hanya ditemani rakan perempuan tersebut.

Pada prosiding hampir sejam itu, hakim syarie itu memutuskan pernikahan Maya dan Steven pada 14 Ogos 2008 di Vila La Corte del Lago, Tasik Como, Bellagio, Itali sah dari segi hukum syarak. Kedua-dua mereka ketika itu dinikahkan oleh Imam Abdullah yang didatangkan khas dari Algeria.

Permohonan pengesahan pernikahan itu dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Kira-kira pukul 4.30 petang, Steven dan rakannya keluar dari kamar hakim.

Pada ketika ini, Steven hanya tersenyum dan menyatakan We married, married, ketika ditanya mengenai prosiding tersebut.

Terus diasak dengan persoalan cerai, Steven akhirnya menyatakan, dia tidak kisah sekiranya Maya mengambil langkah untuk memfailkan perceraian malah dia turut menjangkakan bahawa pelakon itu yang akan ‘membuka langkah’ ke arah itu.

Walaupun menyatakan masih ada rasa cinta pada isterinya, Steven mengesahkan perceraian akan tetap berlaku di antara mereka.

Sementara itu, pelakon filem Anak Halal dan Pisau Cukur itu terus ‘kunci mulut’ terhadap setiap pertanyaan yang diajukan oleh pihak media termasuk keputusan yang dibuat oleh hakim syarie.

Diminta memberi komen mengenai perasaan Steven terhadapnya dan isu perceraian, Maya dilihat terdiam seketika sebelum menjawab: ‘‘Lebih baik macam ni. Lebih baik saya tutup mulut dan ia baik untuk semua,’’ dengan riak wajah yang seakan-akan hendak menangis.

Ditanya sama ada pelakon itu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, Maya memberitahu: ‘‘Semua manusia mesti bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.’’ Beliau turut menyatakan, pasangan itu sedang cuba menyelesaikan masalah mereka dengan baik.



www.flickr.com
More photos or video tagged with kahwin on Flickr