Darling-Azlin Kini Sah Suami Isteri

Walaupun hanya bertunang selama dua bulan setengah sebelum mendirikan rumah tangga, pelakon dan penerbit drama, Nasreen Ngasri, 26, tidak menganggap ia sebagai satu keputusan terburu-buru.

Sebaliknya, Nasreen atau lebih mesra dengan panggilan Darling melihat pernikahannya bersama jejaka pilihan hati, Nur Azlin Rahmat, 34, atau Azlin adalah sebagai ketentuan Allah SWT.

"Saya sendiri tidak pernah menetapkan had usia apabila memikirkan tentang perkahwinan kerana semua ini sudah jodoh.

"Lagipun pintu hati saya sudah terbuka untuk menerima Azlin sebagai suami kerana keikhlasan hatinya yang benar-benar serius menyunting saya.


"Untuk itu, tiada apa yang mampu saya lafazkan melainkan syukur kerana dijodohkan dengan Azlin yang saya sifatkan sebagai seorang lelaki yang tepat untuk dijadikan suami," kata Darling dalam nada gembira sewaktu ditemui selepas majlis pernikahannya di kediaman keluarganya di sini hari ini.

Darling dan suaminya yang merupakan seorang pegawai pemasaran itu mengikat tali pertunangan pada 15 Mac lalu selepas empat bulan menjalin hubungan cinta.

Dalam majlis yang berlangsung dalam suasana penuh sederhana itu, Darling telah dinikahkan sendiri oleh bapanya yang juga bekas juruhebah radio RTM, Ngasri Sain, 59, sambil disaksikan oleh Ketua Imam Masjid Abu Hurairah, Kampung Batu, Jalan Ipoh, Razab Chik Dollah.

Anak keempat daripada enam beradik itu telah menerima mas kahwin sebanyak RM80, wang hantaran RM22,222.22 selain sembilan dulang hantaran antaranya barangan kosmetik, telekung, barang kemas, tas tangan dan kek.

Sebagai balasan, pihak pengantin perempuan membalas dengan 11 dulang yang merangkumi jam tangan, kasut, dua biji kek, buah-buahan, kasut, kek cawan serta sepasang pakaian pejabat.

Sementara itu, Darling yang anggun mengenakan kebaya moden putih rekaan Cosry itu turut memberitahu dia sememangnya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Malah suaminya juga tidak menghalang Darling meneruskan karier seninya asalkan tahu menjaga adab dan batas sebagai seorang isteri.

"Mengenai cahaya mata pula, saya dan Darling tidak merancang tetapi kami menyerahkan kepada Allah SWT. Semuanya bergantung pada rezeki," jelas Azlin pula.

Majlis menyambut menantu akan diadakan di Bukit Katil, Melaka minggu depan sebelum pasangan itu berlepas ke Paris, Perancis untuk berbulan madu.

www.flickr.com
More photos or video tagged with kahwin on Flickr